Monday, May 11, 2009

PERSIAPKAN SAMPAN KECIL MILIK NAKHODA

Ramai yang berkira-kira mahu menjadi Romeo dan Juliet. Ramai yang berkira-kira mahu menjadi hero dan heroin dalam fantasi cinta masing-masing. Malangnya, masih ramai yang belum kenal siapakah musuh dan cabaran sebenar dalam kehidupan. Adakah mereka akan mampu mengharungi halangan ini?

SUDAH ramai remaja yang saya temui dan ajukan persoalan kenapa mahu bercinta? Jawapannya tidak jauh berbeza, mereka bilang, "suka-suka", "nak rasa best ke tak" dan ada yang menjawab " Entah... seronok kot". Macam-macam jawapan yang diberikan, namun hampir kesemua percintaan remaja tidak didasari oleh rasa tanggungjawab. Tidak kira mereka mencari cinta sejati atau cinta monyet, namun dasar permulaan cinta itu tidak lebih daripada desakan nafsu yang menduru.

Kesedaran yang kurang itu menyebabkan ramai remaja yang terlanjur dan menyesal. Kejahilan telah membutakan hakikat sebuah percintaan dan akhirnya remaja tersebut ditarik ke dalam sebuah dilema yang kusut. Lalu banyak kisah haru tersiar di dada akhbar. Bayi Terbuang, Gadis Lari Dibawa Kekasih, Gadis Diperdaya, Pelajar Rogol Kawan dan lain- lain kisah. Kasihan remaja kita. Seandainya mereka terlanjur, pasti akan tercatat satu palitan sejarah hitam sepanjang kehidupan mereka.

Tiada remaja yang waras mahu hidupnya terpalit titik hitam. Tiada remaja yang berfikiran rasional mahu hidupnya dilingkari masalah dan dilema perasaaan. Semua remaja mahu bahagia. Dan semestinya kebahagiaan adalah keinginan dan impian semua manusia di alam jagat ini. Malangnya, kesilapan dalam memilih cara hidup dan memilih kawan akhirnya membawa kemusnahan masa depan.

Remaja sepatutnya tahu bahawa percintaan ibarat sebuah pelayaran yang berlangsung di atas lautan kehidupan. Percintaan memerlukan kesepakatan antara nakhoda dan kelasinya dalam merentasi lautan yang getir. Dalam pelayaran ini, seorang nakhoda perlu memahami tiga perkara. Pertama sampan yang bakal membawanya belayar. Kedua, sifat lautan yang perlu ditempuhinya. Ketiga, destinasi yang ingin dituju dalam pelayaran ini.

Secara kiasannya, kita boleh sebut begini.

Sampan itu adalah hati.
Lautan itu adalah kehidupan.
Matlamat pelayaran ialah Pulau Bahagia.

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi. Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang,taufan dan goncangan. Ia membawa cuaca tersendiri dan memberi impak di dalam hati manusia. Hati manusia ibarat sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan lepas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata dan mengenali cinta. Sudah pasti, sampan kecil yang menempatkan sebentuk hati manusia itu bisa ditimpa pelbagai kemungkinan.

Anda mahu jatuh cinta bukan? Jatuh cinta bererti memulakan pelayaran. Andai mahu belayar, anda perlu menjadi seorang nakhoda. Anda perlu memiliki sampan yang mampu membawa anda dan kekasih sampai ke destinasi. Oleh itu, sudahkah anda persiapkan sampan kecil yang kukuh dan utuh itu? Sampan yang akan membawa cinta anda dengan selamat.


Ingat...

Dunia bukan syurga...
Dunia adalah tempat manusia diuji!

Ingat...

Dunia adalah realiti...
Bukan tempat untuk mimpi ilusi!

Ingat...


Lautan kehidupan itu dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan. Adakah sampan milik nakhoda sudah bersedia untuk membawa kekasihnya demi menakluk Pulau Bahagia? Sudahkah ia cukup kuat untuk menongkah gelombang? Cukup teguhkah ia untuk membelah taufan? Cukup tegarkah ia untuk menahan goncangan? Atas sebab itu, nakhoda perlu membina sebuah sampan paling teguh demi berlayar dalam lautan kehidupan itu. Justeru, remaja perlu bertanya kepada diri sendiri satu persoalan yang penting. Apakah jenis sampan yang paling teguh dan tahan lasak untuk menempuh sebarang cuaca kehidupan?

Jika sampan itu adalah hati. Dan hati itu perlu diperteguhkan.Apakah elemenyang akan memperteguhkan hati itu sehingga ia menjadi tegal dan mampan?

Kalau anda bertanya orang lain, jawapannya mungkin bermacam-macam. Bagi penulis, elemen yang akan memperteguhkan hati manusia ialah ilmu dan prinsip. Ilmu dan prinsip yang betul akan membantu anda membuat keputusan dan bertindak dengan betul. Ilmu dan prinsip akan memandu sampan anda keluar dari pusaran konflik dan melepaskan anda dari kerumitan hidup.

Sunday, May 10, 2009

BOLEHKAH SAYA BERCINTA?

"BOLEHKAH saya bercinta?" Inilah persoalan yang paling kerap diajukan kepada saya sepanjang menjadi seorang guru,penceramah dan perunding bebas. Saya yakin, persoalan in sudah ditanyakan kepada orang lain. Malah sudah ada jawapan yang berbagai diberikan oleh orang-orang tertentu. Anda juga boleh cari jawapan terhadap persoalan itu di mana-mana sahaja. Saya tidak akan menyebut definisi cinta dan isu putarnya menurut fakta yang berat. Saya tidak akan menulis hukum cinta dan perinciannya seperti buku karangan Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk 'Al-Hub'. Saya tidak akan membina pengertian cinta mengikut kaca mata saya, tetapi saya mahu anda sendiri membina definisi cinta mengikut kefahaman anda.

Persoalan di atas tadi menjurus kepada suatu naluri yang sememangnya wujud di dalam jiwa manusia iaitu cinta. Apa itu cinta? Cinta adalah kasih sayang, dan sifat itu adalah kemestian bagi setiap manusia. Jika cinta dibuang dari jiwa manusia, pasti sesuatu yang 'cacat' akan menimpa jiwa manusia tersebut. Cinta adalah perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada naluri manusia normal. Adakah anda manusia normal? Jika ya, memang anda perlu bercinta. Lantaran itu, manusia perlu kenal cinta dan menggunakan cinta di dalam jiwa sesuai dengan tempatnya.

"Bolehkah saya bercinta?" Jika cinta di sini dimaksudkan secara umum. Maka jawapan mudahnya ialah, " Memang manusia boleh dan perlu bercinta." Kerana tanpa percintaaan, manusia tidak akan bisa berkahwin dan meneruskan perkembangan zuriat. Dengan adanya cinta barulah manusia boleh membelai suami, membesarkan anak, memberi seluruh jiwa dan sebagainya.

Yang perlu ditanya lagi ialah, "Bercinta dengan siapa?" Apabila soalan itu ditambah, bererti jawapan yang diberikan perlu lebih tepat dan spesifik. Jika anda mahu bercinta dengan Tuhan, silakan. Itu cinta terbaik. Jika anda mahu mencintai ibu bapa anda, itu juga tersangat bagus. Jika anda mencintai guru-guru dan sahabat, itu juga tidak salah. Jika anda mencintai ilmu dan pengetahuan, anda memang seorang yang bijak. Namun, jika anda mencintai seseorang yang berlainan jantina. Ketika inilah persoalan itu perlu ditanya dengan sepenuhnya.

"Bolehkah saya bercinta?" Sememangnya boleh. "Tapi, mahu bercinta dengan siapa?"

Jika anda menjawab...

''Dengan seorang lelaki, atau dengan seorang perempuan."

Oh!

Jika cinta yang dimaksudkan ialah cinta suami isteri, cinta ibu dan anak, cinta anak kepada ibu bapanya, itu bererti cinta fitrah. Cinta itu membawa erti berkasih sayang. Sudah tentu boleh. Namun, jika cinta yang dimaksudkan ialah cinta couple. Iaitu cinta teruna dan dara. Jawapan 'boleh' itu perlu digantung seketika, ia perlu kepada penghuraian yang panjang sebelum menjawabnya. Kita perlu memahami situasi dan kondisi pasangan yang bercinta terlebih dahulu. Apabila kita mengetahui situasi sebenar teruna dan dara secara detail. Barulah kita mampu menyatakan boleh atau tidak. Sememangnya bercinta itu dibolehkan, namun bukan dengan semua orang kita boleh bercinta. Memang kita boleh mencintai sesiapa, tetapi setiap cinta perlu ada sempadan.

Saya tidak akan memberi jawapan kepada anda sekarang ini. Anda perlu membaca dan berfikir sejujurnya. Saya yakin, anda akan menemukan jawapan jika anda benar-benar tulus mencari cinta yang terbaik. Teruskan membaca.

Wednesday, May 6, 2009

Aku Mahu Jatuh CINTA tapi dengan siapa??? oleh A.Ubaidillah Alias

Cinta adalah satu lafaz yang difahami oleh seluruh manusia. Cinta adalah suatu rasa yang selalu diimpikan oleh setiap jiwa. Namun, cinta tidak semuanya indah dan mempesona. Dalam berjuta warna cinta, tetap ada cinta yang membinasakan. Dalam berjuta kelopak cinta tetap ada yang berbahaya, harus diteliti dengan waspada.kenali cinta... atau anda mungkin menjadi mangsa.


SAYA seorang guru yang mengajar di sekolah agama, saya sering memerhati perkembangan pelajar di depan mata. Saya melihat pelajar yang menuju alam remaja begitu mudah terjentik apabila perihal atau isu percintaan dibangkitkan dalam pelajaran. Saya lebihkan mendengar, memandang, menilai dan memantau perkembangan pelajar dari masa ke semasa. Saya menyedari golongan ini sentiasa dihurung berbagai persoalan mengenai cinta. Dan persoalan ini kadang-kadang ditanyakan kepada saya.

"Ustaz boleh ke saya bercinta sekarang?
Tak salah ke?"

"Bagaimana saya nak mencari kekasih yang baik?"

"Ustaz, susah ke kita nak mencapai bahagia dalam percintaan?"

Persoalan ini tergantung dan saya juga tidak mampu menjawabnya dalam kadar segera. Saya perlu berfikir dan menilai kesesuaian masa. Sebelum saya terangkan kepada mereka, saya masih perlu melihat sejauh mana kefahaman mereka terhadap isu percintaan. Atas sebab itu, saya perlu berhati- hati. Lantas saya mula menulis catatan peribadi berkaitan isu cinta seputar remaja. Kebetulan, pada bulan November 2008 Majlis Pelajar USM, Kubang Kerian telah menjemput saya menyampaikan ceramah bertajuk, Ops! I Fall In Love, secara tidak langsung saya memperdalamkan study dan meluaskan sumber kajian mengenai cinta remaja. Akhirnya saya merasa yakin untuk menulis catatan yang saya fikir berharga buat remaja.

Memang benar! sudah banyak buku berkaitan cinta ditulis dan dihidangkan kepada umum. Namun, penceritaan perihal cinta yang hadir atas kapasiti untuk tatapan remaja islam masih kurang. Kadang- kadang ia terlalu umum dan tidak dinyatakan pandangan islam secara jelas. Dalam masa yang sama, buku motivasi kesedaran cinta kian laris di pasaran dan membawa pembaca kepada persepsi yang bervariasi.Ini suatu signifikan bahawa remaja sedang mencari jalan untuk meraih cinta terbaik.

Dari situ, saya kian yakin dan pasti bahawa remaja memerlukan satu tatacara atau mentor yang menunjukkan jalan untuk mendapatkan cinta yang tahan lasak (kebal), suci dan diberkati oleh agama. Atas matlamat itu, sudah tentu remaja memerlukan penjelasan islamik dan maklumat berguna dalam memahami sebuah cinta.

Cinta yang suci ibarat hujan yang menitis dari langit. Kadangkala ia lebat dan kadangkala sekadar gerimis. Yang berteduh di bawahnya akan kebasahan. Walau cuba dielak akan tetap terkena biasanya. Hati, ibarat bumi yang tidak pernah sunyi disirami hujan. Jika tanah hati kekeringan, hujan cinta akan menjadi penyegarnya, jika tanah hati ketandusan, cinta penyejuknya.Jika tanah hati kegersangan, cinta penyuburnya. Tanpa cinta, hati akan kering dan merekah kepijaran. Cinta yang suci itu akan menghidupkan dan menyuburkan kekuatan dalam jiwa.

Cinta yang busuk ibarat candu. Apabila dihidu dan dikecap terasa begitu nikmat, namun mendatangkan kesan buruk. Zahirnya ia memberi keseronokan, hakikatnya ia membawa ketagihan dan kegilaan. Lagi lama mengecapinya, kian menyusut keupayaan untuk mengawal emosi. Lagi lama bergelumang dengannya, lagi pantas ia merosakkan jati diri dan kewarasan. Akhirnya, ia merencatkan pertimbangan, merencamkan kewajaran serta merosakkan fizikal.

Remaja adalah golongan yang mudah digula-gulakan dengan momokan asmara. Remaja adalah golongan yang sangat cuai dengan jerat fantasi berahi. Remaja adalah golongan yang mudah terpanggil dengan seruan dan godaan nafsu yang berpaksikan 'rupa paras' dan 'ghairah'. Akhirnya, momokan, fantasi dan godaan itu menjadi satu perkara paling efektif dalam memesongkan tumpuan remaja terhadap tanggungjawab sebenar mereka.

Kebanyakan remaja sudah tertipu dan termakan candu cinta. kecanduan terhadap cinta telah mengalihkan tumpuan mereka daripada obligasi atau tanggungjawab sebenar seorang pelajar dan bakal memimpin keluarga. Sehingga mereka terpusar ke dalam satu dunia khayalan. Mereka pantas melepaskan prioriti sebenar demi mengejar fantasi-fantasi yang mereka anggap penting. Seolah-seolah fantasi itu adalah jalan ke Pulau Bahagia yang ingin mereka tuju. Akhirnya, mereka karam dalam perjalanan. Pulau bahagia yang mereka kejar itu tidak lebih daripada angan- angan kosong yang akhirnya membawa kekecewaan yang mendalam. Tanpa mereka jelas apakah sebabnya? Tanpa mereka tahu kenapa begitu akhirnya?

Atas sebab itu, penulis ingin berkongsi dengan remaja tentang beberapa persoalan cinta. Seperti, ' jatuh cinta' itu adakah sesuatu kemestian bagi remaja? Bagaimana seharusnya cinta itu ditempatkan? Bagaimana mencari cinta yang terbaik? persoalan seperti itu kelihatan agak klise, namun masih menjadi suatu misteri bagi kebanyakan remaja. Terokai buku ini dan anda pasti akan menemukan makna baru dalam mengejar cinta.