Wednesday, May 6, 2009

Aku Mahu Jatuh CINTA tapi dengan siapa??? oleh A.Ubaidillah Alias

Cinta adalah satu lafaz yang difahami oleh seluruh manusia. Cinta adalah suatu rasa yang selalu diimpikan oleh setiap jiwa. Namun, cinta tidak semuanya indah dan mempesona. Dalam berjuta warna cinta, tetap ada cinta yang membinasakan. Dalam berjuta kelopak cinta tetap ada yang berbahaya, harus diteliti dengan waspada.kenali cinta... atau anda mungkin menjadi mangsa.


SAYA seorang guru yang mengajar di sekolah agama, saya sering memerhati perkembangan pelajar di depan mata. Saya melihat pelajar yang menuju alam remaja begitu mudah terjentik apabila perihal atau isu percintaan dibangkitkan dalam pelajaran. Saya lebihkan mendengar, memandang, menilai dan memantau perkembangan pelajar dari masa ke semasa. Saya menyedari golongan ini sentiasa dihurung berbagai persoalan mengenai cinta. Dan persoalan ini kadang-kadang ditanyakan kepada saya.

"Ustaz boleh ke saya bercinta sekarang?
Tak salah ke?"

"Bagaimana saya nak mencari kekasih yang baik?"

"Ustaz, susah ke kita nak mencapai bahagia dalam percintaan?"

Persoalan ini tergantung dan saya juga tidak mampu menjawabnya dalam kadar segera. Saya perlu berfikir dan menilai kesesuaian masa. Sebelum saya terangkan kepada mereka, saya masih perlu melihat sejauh mana kefahaman mereka terhadap isu percintaan. Atas sebab itu, saya perlu berhati- hati. Lantas saya mula menulis catatan peribadi berkaitan isu cinta seputar remaja. Kebetulan, pada bulan November 2008 Majlis Pelajar USM, Kubang Kerian telah menjemput saya menyampaikan ceramah bertajuk, Ops! I Fall In Love, secara tidak langsung saya memperdalamkan study dan meluaskan sumber kajian mengenai cinta remaja. Akhirnya saya merasa yakin untuk menulis catatan yang saya fikir berharga buat remaja.

Memang benar! sudah banyak buku berkaitan cinta ditulis dan dihidangkan kepada umum. Namun, penceritaan perihal cinta yang hadir atas kapasiti untuk tatapan remaja islam masih kurang. Kadang- kadang ia terlalu umum dan tidak dinyatakan pandangan islam secara jelas. Dalam masa yang sama, buku motivasi kesedaran cinta kian laris di pasaran dan membawa pembaca kepada persepsi yang bervariasi.Ini suatu signifikan bahawa remaja sedang mencari jalan untuk meraih cinta terbaik.

Dari situ, saya kian yakin dan pasti bahawa remaja memerlukan satu tatacara atau mentor yang menunjukkan jalan untuk mendapatkan cinta yang tahan lasak (kebal), suci dan diberkati oleh agama. Atas matlamat itu, sudah tentu remaja memerlukan penjelasan islamik dan maklumat berguna dalam memahami sebuah cinta.

Cinta yang suci ibarat hujan yang menitis dari langit. Kadangkala ia lebat dan kadangkala sekadar gerimis. Yang berteduh di bawahnya akan kebasahan. Walau cuba dielak akan tetap terkena biasanya. Hati, ibarat bumi yang tidak pernah sunyi disirami hujan. Jika tanah hati kekeringan, hujan cinta akan menjadi penyegarnya, jika tanah hati ketandusan, cinta penyejuknya.Jika tanah hati kegersangan, cinta penyuburnya. Tanpa cinta, hati akan kering dan merekah kepijaran. Cinta yang suci itu akan menghidupkan dan menyuburkan kekuatan dalam jiwa.

Cinta yang busuk ibarat candu. Apabila dihidu dan dikecap terasa begitu nikmat, namun mendatangkan kesan buruk. Zahirnya ia memberi keseronokan, hakikatnya ia membawa ketagihan dan kegilaan. Lagi lama mengecapinya, kian menyusut keupayaan untuk mengawal emosi. Lagi lama bergelumang dengannya, lagi pantas ia merosakkan jati diri dan kewarasan. Akhirnya, ia merencatkan pertimbangan, merencamkan kewajaran serta merosakkan fizikal.

Remaja adalah golongan yang mudah digula-gulakan dengan momokan asmara. Remaja adalah golongan yang sangat cuai dengan jerat fantasi berahi. Remaja adalah golongan yang mudah terpanggil dengan seruan dan godaan nafsu yang berpaksikan 'rupa paras' dan 'ghairah'. Akhirnya, momokan, fantasi dan godaan itu menjadi satu perkara paling efektif dalam memesongkan tumpuan remaja terhadap tanggungjawab sebenar mereka.

Kebanyakan remaja sudah tertipu dan termakan candu cinta. kecanduan terhadap cinta telah mengalihkan tumpuan mereka daripada obligasi atau tanggungjawab sebenar seorang pelajar dan bakal memimpin keluarga. Sehingga mereka terpusar ke dalam satu dunia khayalan. Mereka pantas melepaskan prioriti sebenar demi mengejar fantasi-fantasi yang mereka anggap penting. Seolah-seolah fantasi itu adalah jalan ke Pulau Bahagia yang ingin mereka tuju. Akhirnya, mereka karam dalam perjalanan. Pulau bahagia yang mereka kejar itu tidak lebih daripada angan- angan kosong yang akhirnya membawa kekecewaan yang mendalam. Tanpa mereka jelas apakah sebabnya? Tanpa mereka tahu kenapa begitu akhirnya?

Atas sebab itu, penulis ingin berkongsi dengan remaja tentang beberapa persoalan cinta. Seperti, ' jatuh cinta' itu adakah sesuatu kemestian bagi remaja? Bagaimana seharusnya cinta itu ditempatkan? Bagaimana mencari cinta yang terbaik? persoalan seperti itu kelihatan agak klise, namun masih menjadi suatu misteri bagi kebanyakan remaja. Terokai buku ini dan anda pasti akan menemukan makna baru dalam mengejar cinta.

No comments:

Post a Comment